fb fb fb fb fb

Mokhzani kekal presiden MAM, fokus basmi perlumbaan haram

(Tan Sri Mokhzani Mahathir (TENGAH) pada sidang media AGM MAM semalam)

KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Tokoh korporatTan Sri Mokhzani Mahathir mempertahankan jawatan presiden untuk menerajui Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) buat penggal kedua berturut-turut pada pemilihan sesi 2023 hingga 2026.

Pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan permotoran negara itu menyaksikan Mokhzani meraih 13 undi ahli gabungan untuk menewaskan legenda sukan permotoran dua roda negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dengan lima undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Mokhzani, yang bersyukur dapat mengekalkan kerusi nombor satu MAM, berikrar untuk membasmi perlumbaan haram lebih-lebih lagi selepas insiden perlumbaan drag pada ‘Malaysia Drag Bike National ET Record Championship Road Tour 2023’ di Pekan, Pahang, bulan lepas.

“Isu pembasmian perlumbaan haram bukan terletak pada MAM sahaja namun kita perlu bekerjasama semua dengan pihak termasuk ahli gabungan, Kementerian Belia dan Sukan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan, polis dan majlis daerah di setiap negeri.

“Semua pihak perlu bekerjasama dalam memastikan perlumbaan dapat berlangsung dengan selamat baik kepada peserta mahupun penonton,” katanya pada sidang media, semalam.

Perlumbaan berlangsung di Pekan itu bertukar tragedi selepas seorang pelumba drag, Muhammad Hattem Rashdi, 22, meninggal dunia apabila motosikal ditungganginya terbabas pada hari pertama saingan.

Mokhzani juga berkata pihaknya akan mengutamakan lebih banyak program di akar umbi bagi mencungkil bakat baharu sukan permotoran negara.

Pada masa sama, katanya, MAM akan mencari jalan dalam menarik lebih banyak lagi minat pihak swasta untuk melabur dalam sukan permotoran bagi memastikan ia dapat berkembang dengan baik.

Sementara itu, penyandang Timbalan Presiden MAM, Datuk Mohd Rhiza Gahzi pula memperoleh 13 undi sekali gus mengekalkan jawatan dengan menewaskan Kuan Meng Heng yang mendapat lima undi.

Jawatan Setiausaha Agung juga menyaksikan S. N. Nanthan masih diberi kepercayaan ahli gabungan yang memberinya 13 undi sekali gus mengatasi lawannya, Adien Yen Khalid selepas hanya mendapat lima undi.

Prinsipal pasukan RNF MotoGP Racing Team, Datuk Razlan Razali juga masih memegang jawatan bendahari walaupun berkongsi sembilan undi dengan seorang lagi calon, Jed David, sebelum Mokhzani menggunakan kuasanya memilih Razlan untuk penggal kedua berturut-turut.


(Tan Sri Mokhzani Mahathir bersalaman dengan legenda
sukan permotoran negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini)

Media Baharu