fb fb fb fb fb

SOJC: Malaysia perlu lebih tajam bertemu Great Britain – Nor Saiful

Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini/RTM

JOHOR BAHRU, 14 Oktober – Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini menyifatkan kemenangan ke atas New Zealand dalam aksi ketiga Piala Sultan Johor malam tadi sebagai bukti keberkesanan strategi dan corak permainan yang dirancang.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang pertemuan penting menentang Great Britain esok.

Menurutnya, antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah menutup ruang pasukan lawan daripada melakukan serangan balas serta memanfaatkan peluang di kawasan gol.

“Cara kita main tu, cara kita bagi (bola) tak betul. Boleh katakan kesilapan tu bukan sorang yang buat, tapi keseluruhan pasukan.

"Cara kita nak set semula tekanan tu macam mana kita nak buat. Tapi semasa permainan terlalu sempit untuk kita fikir sebenarnya, jadi kita kena tengok balik rakaman video ni,” katanya.

Jelas Nor Saiful, pasukan Great Britain pasti sudah mengenal pasti kelemahan skuad negara berdasarkan aksi terdahulu, justeru penambahbaikan segera amat diperlukan.

Beliau optimis kemenangan ke atas Great Britain mampu membuka peluang buat Malaysia untuk menduduki tangga teratas kejohanan edisi kali ini.

Terdahulu, juara bertahan, Great Britain merekodkan kekalahan kedua apabila tewas 0-2 kepada Australia sekali gus menyebabkan peluang pasukan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2024 semakin tipis.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD