JOHOR BAHRU, 14 Oktober- Skuad hoki remaja kebangsaan mencatatkan kemenangan pertama dalam kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) selepas menewaskan New Zealand 4-2 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya di sini, malam tadi (Isnin).
Pada perlawanan berkenaan, skuad negara mendahului seawal minit ke-16 menerusi pukulan P. Naaveenesh.
P.Naaveenesh sekali lagi menjaringkan gol kedua pada minit ke-19 bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Skuad remaja negara terus unggul di depan menerusi gol ketiga hasil pukulan Ammar Qusyairi pada minit ke-20.
New Zealand kemudian merapatkan jurang pada suku ketiga permainan menerusi Javanh Jones pada minit ke-44.
New Zealand kemudian menambah jaringan kedua pada suku keempat permainan hasil pukulan susut penalti yang disudahkan oleh Rocco Ludolph pada minit 47.
Skuad negara mengesahkan kemenangan menerusi jaringan padang Muhammad Danish pada minit 57.