JOHOR BAHRU, 17 Oktober - Hasrat skuad hoki remaja negara untuk beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat lebur selepas tewas 1-2 kepada India dalam aksi terakhir kumpulan Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC).
India mendahului pada minit ke-22 menerusi Gurjot Singh sebelum Young Tigers menyamakan kedudukan hasil jaringan P. Naaveenesh pada minit ke-43.
Namun, Sourabh Anand Kushwana memastikan kemenangan India dengan gol penentu pada minit ke-48.
Ketua Jurulatih Negara, Nor Saiful Zaini berpuas hati dengan corak permainan menyerang ditampilkan anak buahnya, namun mengakui skuadnya gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menjaringkan gol tambahan.
Kemenangan India itu memastikan mereka melayakkan diri ke perlawanan akhir.