fb fb fb fb fb

Piala FA: JDT bawa bekalan tipis ke aksi timbal balik

Aksi timbal balik dijadualkan pada 28 Oktober di Stadium Sultan Ibrahim /Foto FB MFL

GEORGE TOWN, 18 Oktober – Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Penang FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2025 di Stadium Bandaraya, di sini, malam tadi.

Dalam aksi berkenaan, skuad kendalian Hector Bidoglio membuka jaringan seawal minit keenam menerusi pemain import dari Sepanyol, Oscar Aribas.

Enggan menyerah, tuan rumah memperkemaskan serangan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-35 apabila Muhammad Adib Ra’op meledak gol penyamaan melepasi penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Azmi Mohamed.

Bagaimanapun, tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan, Ahmad Irfan Mohd Noor dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama selepas mengasari Romel Morales.

Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan pelawat apabila rembatan deras Ager Aketxe Barrutia menerjah gawang Penang di babak kedua.

Penang FC cuba bangkit di penghujung permainan dengan beberapa percubaan berbahaya, namun ketangkasan pertahanan JDT dan Ahmad Syihan memastikan kelebihan satu gol kekal hingga wisel penamat.

Kemenangan ini memberikan JDT kelebihan tipis menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 28 Oktober nanti.

Sementara Skuad Harimau Kumbang perlu berdepan laluan sukar untuk meraih kelebihan agregat di tempat lawan.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN