fb fb fb fb fb

Kelantan TRW tersungkur 'dirempuh' The Rhinos

Kemenangan itu memberi kelebihan buat Sabah menjelang aksi suku akhir kedua /Foto FB MFL

KOTA BHARU, 18 Oktober - Kelantan The Real Warriors (TRW) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Sabah FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2025.

Beraksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-12 menerusi Muhammad Jafri Firdaus Chew.

Dia bijak menampan masuk hantaran lintang, menewaskan benteng Kelantan dalam situasi kelam-kabut di hadapan gawang.

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama.

Hanya empat minit berselang, import sensasi Kelantan, Abdul Sesay tampil menyamakan kedudukan.

Ketika aksi kelihatan seimbang, pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee menggandakan asakan sebelum kembali mendahului menerusi jaringan import, Ajdin Mujagic.

Tiada jaringan terhasil pada separuh masa kedua meskipun Kelantan tampil agresif mengatur permainan.

Keputusan kekal 2-1 hingga wisel penamat.

Kekalahan Kelantan TRW itu sekali gus memberi kelebihan buat skuad The Rhinos menjelang aksi timbal balik yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 29 Oktober nanti.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN