fb fb fb fb fb

Skuad ragbi Kelantan idam tamat kemarau 13 tahun

Pasukan Kelantan menjalani sesi latihan di Serdang /Foto RTM

SERDANG, 18 Oktober – Skuad ragbi Kelantan kembali mencuri tumpuan apabila layak ke separuh akhir Kejohanan Piala Agong 2025.

Ini sekali gus menghidupkan semula harapan untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 13 tahun.

The Red Warriors yang menumpaskan Terengganu dalam aksi terakhir peringkat kumpulan dijadualkan menentang pasukan pilihan, PDRM di padang PULAPOL, hari ini.

Ketua jurulatih, Syed Shazril Syed Mahadzir menyifatkan kejayaan melangkah ke separuh akhir hasil disiplin dan pelaksanaan strategi permainan yang berkesan oleh anak buahnya.

"Kemenangan itu datang daripada disiplin dan pelan permainan yang baik. Saya mahu pemain kekalkan disiplin terutama di bahagian serangan dan pertahanan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan, di sini.

Tambahnya, barisan utama Kelantan berada dalam keadaan cergas tanpa sebarang kecederaan serius dan beliau merancang untuk menurunkan beberapa pemain berpengalaman dalam usaha menyaingi kekuatan skuad PDRM.

"PDRM pasukan kuat, mereka ada penendang berkualiti dan dikendalikan jurulatih berprestasi tinggi. Tapi kami juga ada kelebihan dari segi kecergasan dan semangat," katanya.

Sementara itu, kapten pasukan Mohamad Khairul Abdillah memberi jaminan pasukannya kini berada pada tahap terbaik menjelang aksi penting itu.

"Kami akan turun berjuang sehabis baik. Bagi kami, perlawanan ini ibarat final,” katanya.

Kelantan kali terakhir menjuarai Piala Agong pada tahun 2012, melengkapkan hatrik kejuaraan selepas kejayaan berturut-turut sejak 2010.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN