fb fb fb fb fb

Kejayaan atlet pekak wajar dipertimbang SHAKAM - MSDeaf

MSDeaf optimis ada ruang untuk perbincangan dan penilaian semula dasar sedia ada /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berharap kejayaan cemerlang atlet pekak negara di Sukan SEA Pekak 2025 dipertimbangkan semula untuk menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Presiden MSDeaf, Dr. Ong Shin Ruenn, berkata pihaknya dimaklumkan kejohanan tersebut masih belum termasuk dalam struktur pembayaran skim berkenaan ketika ini.

Namun beliau percaya terdapat ruang untuk perbincangan dan penilaian semula dasar sedia ada.

“MSDeaf menghormati ketetapan semasa, namun kami berharap kedudukan atlet pekak turut diberi perhatian dalam konteks pengiktirafan prestasi sukan negara,” katanya menerusi kenyataan.

Dr. Ong menegaskan atlet pekak negara juga menjalani latihan intensif serta mempertaruhkan sepenuh usaha demi Malaysia.

“Atlet kami berlatih keras dan berjuang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Sukan SEA Pekak merupakan kejohanan rasmi yang diiktiraf oleh International Committee of Sports for the Deaf (ICSD),” jelas beliau.

Tambahnya lagi, jika kejayaan yang dicapai di bawah naungan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) diiktiraf dan diberi ganjaran melalui SHAKAM, maka sewajarnya kemenangan atlet pekak di bawah ICSD juga mendapat layanan yang sama.

"Ini bukan sekadar soal ganjaran kewangan, tetapi lebih penting sebagai simbol pengiktirafan dan penghargaan kepada atlet kita yang telah berjuang dengan sepenuh hati,” tegas Dr Ong.

MSDeaf turut bersedia untuk mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membincangkan cadangan memperluaskan skim tersebut kepada atlet pekak.

Terdahulu, Malaysia berjaya meraih 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa pada temasya yang berlangsung di Jakarta, Indonesia Ogos lalu.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN