PETALING JAYA, 18 Oktober – Tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang terlibat dalam siasatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memperoleh kewarganegaraan secara sah mengikut undang-undang Malaysia.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundram berkata, kesemua pemain berkenaan telah melalui proses lengkap melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum disahkan sebagai warganegara Malaysia.
“Langkah ini dijalankan sepenuhnya mengikut undang-undang Malaysia dan semua agensi berkaitan telah mengesahkan proses tersebut,” katanya dalam sidang media khas di Wisma FAM.
Menurut beliau, siasatan FIFA tidak membabitkan status kewarganegaraan pemain, sebaliknya berpunca daripada kesilapan teknikal ketika proses penyerahan dokumen kepada badan induk bola sepak dunia itu.
Difahamkan, siasatan berkenaan bermula selepas FIFA menerima aduan daripada individu di luar negara berhubung dokumen pemain terbabit.
FAM memberikan kerjasama penuh dan telah menyerahkan semua dokumen sokongan untuk semakan semula.
FAM menerima keputusan rasmi daripada FIFA pada 6 Oktober lalu dan telah memfailkan rayuan pada 14 Oktober bagi memastikan semua fakta serta bukti disemak semula dengan telus.
“Kami yakin tujuh pemain ini dinaturalisasi secara sah di bawah undang-undang Malaysia, dan kami akan terus mempertahankan integriti pemain serta bola sepak negara,” tambahnya.
FAM juga telah melantik firma undang-undang antarabangsa Charles Russell Speechlys untuk mewakili badan itu.
Dalam masa sama, FAM akan bekerjasama dengan KDN, JPN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan proses rayuan berjalan lancar.
Keputusan rasmi rayuan terhadap hukuman denda dan penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dijangka diketahui pada 30 Oktober ini.
