KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Skuad Harimau Malaya mencatat peningkatan memberangsangkan apabila naik lima anak tangga ke kedudukan ke-118 dunia, berbanding tangga ke-123 pada kemas kini ranking FIFA bertarikh 18 September lalu.
Lonjakan ini dipacu siri kemenangan penting di bawah kendalian Peter Cklamovski, termasuk menewaskan Vietnam 4-0 dalam Kelayakan Piala Asia 2027, menundukkan Nepal 2-0, serta mencatat kemenangan persahabatan ke atas Singapura (2-1) dan Palestin (1-0).
Prestasi konsisten itu menjadi bukti kebangkitan semula Harimau Malaya yang kini kembali menunjukkan taring di pentas antarabangsa, dengan kemas kini ranking seterusnya dijadual diumum pada 21 November 2025.