fb fb fb fb fb

SOJC 2024, skuad remaja negara fokus perbaiki corak permainan

Foto Johor Hockey Association (JHA)

JOHOR BAHRU, 26 Oktober- Pasukan Remaja Kebangsaan kecundang dalam kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2024, apabila mengakhiri saingan ditempat tercorot. 

Aksi terakhir menentang Jepun berkesudahan tewas 2-5, dalam penentuan shoot-out selepas terikat 2-2, di Stadium Hoki Taman Daya, petang tadi.

Kedua-dua pasukan bermula garang apabila masing-masing saling membalas serangan, namun suku pertama berakhir tanpa jaringan.

Skuad kebangsaan seakan tumpul pada babak kedua, apabila gagal menyempurnakan tiga pukulan sudut penalti.

Suku ketiga, anak buah I. Vikneswaran bangkit memecah kebuntuan dengan jaringan gol padang, Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar, minit ke-33.

Tidak mahu ketinggalan, Jepun juga bangkit menyamakan semula kedudukan pada minit ke-48, hasil gol Yuto Higuchi.

Malaysia berjaya mendahului semula perlawanan, pada minit ke-50, namun jaringan penalti stroke daripada Jun Watanabe, menyaksikan Jepun kembali menghidupkan peluang pada minit ke-58.

Jaringan seri 2-2 kekal hingga wisel penamat.

Malaysia terpaksa akur tewas, selepas tiga pemain gagal menyudahkan pukulan shoot-out manakala Jepun berjaya menyumbat tiga gol.

Sementara itu, Jurulatih Kebangsaan, I. Vikneswaran berkata anak buahnya perlu segera bangkit dan mempersiapkan mental dan fizikal, dalam mendepani cabaran Piala Remaja Asia.

"Perlawanan ini merupakan perlawanan berkelas dunia, kita harus pelajari dan ambil sebagai maklumat untuk perbaiki permainan kita lagi.

Kita datang ke perlawanan ini untuk menang, namun berkait dengan pukulan penalti itu kita perlu lihat semula untuk mengesan kesalahan-kesalahan yang dilakukan," kata I. Vikneswaran kepada pemberita.

Piala Remaja Asia bakal berlangsung di Muscat, Oman pada bulan hadapan dan menjadi fokus skuad negara dalam memburu slot ke Piala Dunia Remaja. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM