SEREMBAN, 27 Oktober - Seramai 16 peserta dari dalam dan luar negara, bersama 60 peserta amatur, menyertai pertandingan Waris Fight Night International Challenge 2024 yang pertama kali dianjurkan oleh Persatuan Muay Thai Negeri Sembilan.
Timbalan Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Sembilan, Mohd Faizal Mohd Hanif berkata penganjuran acara itu bertujuan untuk mengembangkan sukan muay thai di Negeri Sembilan dengan melibatkan atlet dari pelbagai negara.
“Harapan kami agar muay thai ini terus berkembang di Negeri Sembilan dan maju ke peringkat Olimpik. Kami bercadang untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan untuk rakyat negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas acara tersebut, di sini.
Tambah Mohd Faizal, Persatuan Muay Thai Negeri Sembilan akan mengadakan kursus jurulatih dan pengadil bagi mereka yang berminat dalam sukan tersebut, selain mencungkil bakat baru dalam muay thai.