KULAI, 17 Oktober - SMK Taman Desa Skudai dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan berentap di pentas akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Liga Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2025 bersama rakan strategik 100PLUS selepas mencatat kemenangan dalam aksi separuh akhir masing-masing, Rabu lalu.
Perlawanan penuh dramatik di Stadium Mini Kulai menyaksikan tuan rumah, SMK Taman Desa Skudai, menewaskan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman 3-2 selepas masa tambahan, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa sebenar.
SMK Tunku Anum terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan kencang Muhd Wafiyuddin Lukman pada minit ke-12, namun SMK Taman Desa bangkit menyamakan kedudukan hasil percubaan Faiz’zin Naqibbin Mohd Faizal Amrie pada minit ke-26 yang terbias pemain lawan.
Pasukan kendalian Rodolfo Pereda Villa kemudian mendahului 2-1 pada minit ke-57 melalui jaringan Muhd Farish Haqiem Muhd Azharuddin.
SMK Tunku Anum terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhd Ammar Amsyar Muhd Suhaimi dilayangkan kad merah di penghujung perlawanan, namun mereka tetap berjaya mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringan Muhd Zunur Amin Shukri pada minit akhir permainan.
Gol kemenangan akhirnya hadir menerusi sentuhan Afief Syamiel Aidilazhar pada masa tambahan bagi memastikan kemenangan 3-2 buat SMK Taman Desa sekaligus menempah tiket ke final.
Rodolfo memuji semangat juang tinggi pasukan lawan dan berbangga dengan kebangkitan yang dipamerkan anak buahnya.
“Dua gol lawan berpunca daripada set piece yang dilakukan dengan baik. Secara keseluruhan kami bermain dengan baik, tetapi situasi seperti ini boleh berlaku dalam bola sepak.
“Bagi saya, musim ini pemain menunjukkan keyakinan dan kualiti yang lebih matang. Jika mereka kekal fokus dan beraksi dengan baik di final nanti, saya yakin perlawanan itu akan menjadi luar biasa,” katanya.
Sementara itu, jurulatih SMK Tunku Anum, Mohd Azizi Abdul Aziz, tetap berpuas hati dengan pencapaian pasukannya yang berjaya mara ke separuh akhir selepas beberapa tahun tersingkir di peringkat awal.
“Saya beri kredit kepada pemain yang beraksi cemerlang walaupun bermain 20 minit dengan 10 orang. Walaupun ada kesilapan kecil, mereka tetap menunjukkan semangat tinggi,” ujarnya.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 14 Tahun menundukkan SMK Seksyen 11, Shah Alam, 3-1.
Gol-gol AMD dijaringkan oleh Ahmad Muzakif Fitri Muihamad (minit ke-21), Muhd Ima Luthfi Zairol Hisham (minit ke-41) dan Muhd Afiq Akram Yusni (minit ke-67), manakala satu-satunya gol SMK Seksyen 11 disumbangkan oleh Muhd Aqmar Danish Kamarizuan pada minit ke-43.
Aksi akhir dijangka berlangsung hujung minggu ini dengan pertembungan sengit antara dua pasukan muda terbaik negara yang memburu kejuaraan edisi 2025.
