fb fb fb fb fb

Kem badminton hantar pasukan terbaik, tebus kekecewaan edisi lalu

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Malaysia akan menghantar barisan pemain badminton elit ke Sukan SEA 2025 di Thailand sebagai usaha memulihkan maruah negara selepas kegagalan edisi lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan antara barisan kejurulatihan dan pengurusan, memandangkan tiada kejohanan besar dalam kalendar antarabangsa yang bertindih dengan temasya dwitahunan itu.

"Kebetulan tiada kejohanan besar tahun ini, dan kami rasa ini satu-satunya peluang untuk membawa pulang keputusan yang baik, ini soal maruah negara," katanya ketika lawatan Ketua Kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA, Nurul Huda Abdullah di venue latihan terjun.

Kenny, yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025, turut memberi jaminan pemain yang terpilih tidak akan menghadapi masalah untuk menyertai Jelajah Dunia Akhir BWF 2025 yang berlangsung di Hangzhou, China dari 17 hingga 20 Disember.

Acara badminton Sukan SEA dijadual bermula 7 Disember, dua hari sebelum majlis pembukaan rasmi dan akan berakhir pada 15 Disember.

“Saya rasa kami mempunyai masa yang cukup untuk menyusun segala perancangan logistik yang diperlukan untuk ke Hangzhou,” katanya.

Mengikut format Jelajah Dunia Akhir BWF, hanya lapan pemain atau beregu terbaik dunia dalam ranking kelayakan layak beraksi, dengan maksimum dua wakil dari satu negara bagi setiap kategori.

Berdasarkan ranking, empat wakil negara tersenarai ke Sukan SEA yang menduduki kedudukan lapan teratas melibatkan beregu kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, serta Pearly Tan-M.Thinaah dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Langkah agresif BAM itu dilihat sebagai reaksi kepada kekecewaan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, yang menyaksikan Malaysia hanya membawa pulang dua pingat perak dan empat gangsa selepas menghantar skuad pelapis.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN