KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Cristiano Ronaldo kekal mendahului selaku pemain bola sepak dengan pendapatan tertinggi tahun ini, berdasarkan senarai Forbes.
Paling mengejutkan, bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, 18, yang turut tersenarai dalam 10 pemain teratas.
Ronaldo, 40, terus mengukuhkan statusnya dengan pendapatan mencecah AS$280 juta tahun ini selepas menandatangani lanjutan kontrak dua tahun bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
Dia juga menghampiri rekod 1,000 gol sepanjang kariernya.
Seteru Ronaldo, Lionel Messi, kini di kedudukan kedua dengan pendapatan AS$130 juta, kebanyakannya hasil penajaan luar padang bersama jenama besar antarabangsa.
Messi juga melancarkan minuman sukan jenamanya sendiri tahun lalu.
Di tangga ketiga menyaksikan penyerang Perancis, Karim Benzema, dengan AS$104 juta, hasil perpindahannya ke kelab Al-Ittihad di Arab Saudi.
Bintang muda lain seperti Kylian Mbappe dari Real Madrid (AS$95 juta) dan Erling Haaland dari Manchester City (AS$80 juta) melengkapkan lima teratas dan dijangka mendominasi era Ballon d'Or seterusnya.
Namun, Yamal menjadi tumpuan utama apabila penampilan cemerlang musim 2024/25 bersama Barcelona dengan menjaringkan 18 gol dan 25 bantuan gol, serta membantu Sepanyol menjulang kejuaraan Eropah.
Kejayaannya di padang turut melonjakkan nilai penajaan dengan pelbagai jenama, menjadikan jumlah pendapatan beliau sebanyak AS$43 juta.
Sebagai pengiktirafan, Barcelona menawarkan kontrak baharu hingga 2031 serta menyerahkan jersi ikonik nombor 10 yang pernah disarung Messi, satu simbol peralihan generasi di Camp Nou. - REUTERS