fb fb fb fb fb

Ibu bapa perlu main peranan aktif bendung budaya buli

Sesi Townhall Antibuli Peringkat Negeri Sarawak di Kuching

KUCHING, 17 Oktober - Usaha membanteras gejala buli yang semakin membimbangkan di negara ini memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak termasuk penjawat awam, institusi pendidikan, keluarga dan komuniti setempat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, menegaskan bahawa tanggungjawab membendung perbuatan buli tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah atau kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif ibu bapa dan masyarakat.

“Saya fikir ibu bapa memainkan peranan penting. Mereka perlu memantau dan terlibat dalam aktiviti harian anak-anak. Ramai dalam kalangan kita terlalu sibuk bekerja. Ada yang kedua-dua ibu bapa bekerja atau ibu tunggal lalu menyerahkan sepenuhnya kepada sekolah untuk mendidik dan mengawasi anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sesi Townhall Antibuli Peringkat Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.

Menurut beliau, pendidikan awal di rumah merupakan asas penting dalam membentuk sahsiah dan empati anak-anak agar mereka memahami bahawa perbuatan seperti memukul, mengejek atau menyakiti rakan lain adalah salah dan tidak boleh diterima.

Dalam masa sama, beliau turut menyokong usaha memperkukuh nilai moral dan keagamaan dalam kurikulum sekolah sebagai langkah mendidik pelajar mengenai kesan dan implikasi buli terhadap mangsa serta masyarakat.

Kulasegaran berharap pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa, guru, dan agensi kerajaan dapat membantu menghapuskan budaya buli serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan berperikemanusiaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE