KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting tersingkir daripada saingan Terbuka Denmark 2025 apabila tewas kepada pasangan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong pada pusingan kedua kejohanan.
Beraksi di Jyske Bank Arena, Odense, pasangan muda negara itu bermula cemerlang dengan kemenangan 21-19 pada set pertama.
Bagaimanapun, momentum gagal dikekalkan menyaksikan mereka tunduk pada dua set berikutnya 10-21, 7-21, dalam pertarungan yang berlangsung selama 57 minit.
Gandingan Hye Jeong-Hee Yong akan membuat perhitungan sesama rakan senegara, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo di peringkat suku akhir.
Sementara itu, harapan Malaysia kini disandarkan kepada gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang akan bertemu pasangan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, bagi merebut slot ke separuh akhir.
Turut memburu tempat ke kelompok empat terbaik ialah pasangan beregu lelaki profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, yang akan berdepan cabaran getir menentang pilihan kelima dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, hari ini.