(S.Sivasangari dan Ng Eain Yow)
HANGZHOU, 5 Oktober- Kontinjen skuasy negara menutup kempen pada Sukan Asia Hangzhou 2022 dengan membawa pulang tiga emas, satu perak dan satu gangsa secara keseluruhannya.
Emas keempat dan kelima negara pada temasya itu disumbangkan pembawa Jalur Gemilang, S.Sivasangari dalam acara perseorangan wanita dan Ng Eain Yow dalam acara perseorangan lelaki, hari ini.
Sivasangari tidak diberikan laluan mudah oleh lawan yang berada di ranking ke-43 dunia, Chan Sin Yuk dari Hong Kong.
Namun, anak kelahiran Sungai Petani itu mempamerkan semangat juang yang tinggi sebelum menang 8-11,15-13,10-12,11-9,12-10 dalam tempoh 64 minit.
Kemenangan tersebut sekali gus memperbaiki pencapaian pada 2018 apabila meraih satu perak dan satu gangsa.
Sementara itu, Ng Eain Yow menggandakan keceriaan kem negara dengan menewaskan wakil India, Saurav Ghosal 9-11, 11-9,11-5, 11-7.
Ini adalah emas kedua peribadinya di pentas Sukan Asia selepas meraih emas pada 2018 dalam acara berpasukan lelaki.
Terdahulu, skuasy turut menambah satu perak menerusi acara bergu campuran menerusi Mohamad Syafiq Mohd Kamal dan Aifa Azman yang tewas 0-2 kepada India.
(Aifa Azman dan Mohamad Syafiq Mohd Kamal)