KUALA LUMPUR, 18 Mei – Skuad sepak takraw negara tetap bersemangat walaupun tewas kepada Thailand di pentas akhir acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Trio utama Malaysia, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias kekal optimis untuk bangkit dalam temasya Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2025.
Mohammad Syahir yang juga tekong pasukan berkata, kekalahan itu tidak mematahkan semangat mereka, sebaliknya menjadi pemangkin untuk memperbaiki kelemahan terutama dari aspek servis dan ketahanan fizikal.
“Kami sudah beri yang terbaik. Thailand memang hebat, tapi kami tidak akan berputus asa. Harap penyokong terus bersama kami,” katanya.
Dalam pada itu, Azlan mengakui berdepan kesukaran beraksi di pentas akhir ekoran kecederaan yang dialaminya.
"Siku saya memang sudah tercedera, teralih ke tepi, tapi saya tetap gagahkan diri. Saya akan terus berjuang untuk Malaysia selagi mampu,” katanya sambil menantikan keputusan pemeriksaan lanjut daripada Institut Sukan Negara (ISN).
Kapten pasukan negara, Farhan Adam pula menyifatkan kempen Piala Asia tahun ini sebagai pencapaian bermakna dan menegaskan pasukan perlu memperkukuh aspek pertahanan dan konsistensi permainan jika mahu menamatkan kemarau kejuaraan.
“Kami sudah beri segalanya, dan kami akan cuba lagi di Sukan SEA nanti,” menurutnya.
Pada aksi akhir petang tadi, skuad negara terpaksa akur bergelar naib juara apabila tumpas 0-2 kepada seteru utama, Thailand.
Malaysia kini menumpukan usaha memperbaiki prestasi menjelang Sukan SEA di Thailand pada Disember ini, serta Sukan Asia di Nagoya, Jepun yang dijadual berlangsung September tahun hadapan.