fb fb fb fb fb

Malaysia perlu tingkatkan usaha, baiki pertahanan, serangan

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun / Foto RTM

KUALA LUMPUR 18 Mei- Ketua jurulatih skuad sepak takraw, Ahmad Jais Baharun mengakui skuad negara masih belum mampu menyaingi ketajaman pasukan Thailand selepas tumpas 0-2 pada saingan akhir acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025.

Beliau menegaskan usaha berterusan diperlukan terutama dalam aspek pertahanan dan serangan menjelang Kejohanan Piala Raja Thailand serta Sukan SEA hujung tahun ini.

“Mereka lebih kemas, lebih padu dari segi serangan dan pertahanan namun kita perlu tingkatkan usaha, terutama dalam mengekang asakan lawan,” katanya.

Menurut Ahmad Jais, prestasi pemain negara dilihat kurang konsisten berbanding ketika separuh akhir dan tekanan daripada Thailand menyebabkan barisan negara gagal mengekalkan momentum.

Pasukan juga gagal meraih kemenangan dalam dua regu awal, sekali gus menutup peluang untuk mengheret perlawanan ke regu penentuan.

Ahmad Jais turut menjelaskan penilaian semula akan dilakukan, termasuk potensi perubahan pemain.

“Kita akan beri peluang kepada pemain lain yang ada potensi besar untuk timba pengalaman dan beri saingan lebih mantap,” ujarnya.

Skuad negara kini perlu memberi tumpuan kepada persiapan seterusnya, dengan harapan dapat bangkit lebih kuat pada kejohanan akan datang.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello