BARCELONA, 19 Mei- Villarreal mencatat kemenangan dramatik selepas berjaya menewaskan juara La Liga musim ini, Barcelona 3-2 sekali gus mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Aksi yang berlangsung di Stadium Olimpik, awal pagi tadi menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ayoze Perez hasil umpanan Nicolas Pepe.
Walaupun Barca baru sahaja menjulang kejuaraan liga ke-28 mereka baru-baru ini, pengendali Hansi Flick tetap menurunkan barisan terkuat berdepan skuad Yellow Submarine.
Barca menyamakan kedudukan menerusi jaringan cantik Lamine Yamal yang turut menyumbang gol penting dalam aksi menentang Espanyol sebelum ini.
Pemain remaja itu hampir menambah jaringan tetapi percubaannya terkena palang, sebelum Fermin Lopez meletakkan tuan rumah di depan.
Namun Villarreal bangkit semula, Santi Comesana menyamakan kedudukan sebelum Tajon Buchanan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80.
Ia merupakan kekalahan pertama Barca di laman sendiri tahun ini.
Walaupun tewas, penyokong Barca tetap meraikan kejayaan musim ini dengan sorakan "juara" dan penyampaian trofi liga kepada skuad Flick, yang menamatkan musim dengan kejuaraan domestik treble.
Sementara itu, Kylian Mbappe menjaringkan gol ketika Real Madrid menewaskan Sevilla 2-0, manakala Leganes kekal berpeluang untuk terus berada di La Liga selepas menewaskan Las Palmas.
Atletico Madrid pula menewaskan Real Betis 4-1 dengan Julian Alvarez menyumbang dua gol dan satu bantuan jaringan untuk meletakkan pasukan bimbingan Diego Simeone di tempat ketiga liga.- AFP