NILAI, 6 Disember - Persiapan skuad Softball ke Sukan SEA Thailand kini berada pada fasa akhir dengan beberapa siri latihan dan pemilihan telah dijalankan sepanjang tahun 2025.
Menurut Pengurus pasukan Softball wanita negara Azizul AZrin Mahmor berkata, majoriti pemain yang menyertai pasukan pada tahun ini terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
"Alhamdulillah, setakat ini prestasi dalam aspek kesihatan dan kerjasama pasukan berjalan dengan baik. Kami berharap agar dalam tempoh seminggu dua ini, menjelang perlawanan kejohanan yang akan datang, tidak ada masalah kecederaan yang timbul.
"Dari segi prestasi mental, alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik. Kami memohon agar seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan pasukan dalam pertandingan kali ini," katanya ketika ditemui RTM.
Beberapa sesi latihan pusat serta perlawanan persahabatan telahdianjurkan bagi memilih barisan terbaik. Hasilnya, seramai 16 pemain terbaik telah disenaraikan untuk membawa cabaran negara pada kejohanan kali ini,
Daripada jumlah itu, 12 pemain ialah pelajar IPT dari pelbagai universiti termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknologi Teknologi Malaysia (UTM), manakala selebihnya merupakan mereka yang sudah bekerja, antaranya guru sekolah.
Pasukan Softball wanita turut mengekalkan seorang pemain yang pernah meraih pingat gangsa pada edisi 2019 di Manila.
Bagi edisi tahun ini, skuad negara menyasarkan untuk mengulangi pencapaian gangsa berdasarkan kedudukan ranking semasa.
Untuk kategori wanita, cabaran dijangka sengit terutama daripada Filipina, yang memiliki pengalaman luas di peringkat dunia. Sementara itu, Singapura dan Thailand dijangka menjadi pencabar utama dalam usaha memburu pingat.
Tambah Azizul lagi menjelaskan bahawa dalam sukan ini, peluang kemenangan banyak bergantung kepada pasukan yang mampu mengurangkan kesilapan ketika beraksi.
Skuad wanita negara sebelum ini mencatat sejarah apabila meraih pingat gangsa pada Kejohanan Softball 2019 di Manila.
Sementara itu Kapten Pasukan Syamin shahira Rosli berkata beliau yakinrakan rakan akan menunjukan prestasi terbaik ketika beraksi di Bangkok nanti walaupun akan berdepan Singapura dan Filipina pasukan yang dijangka mendominasi softball pada peringkat Sukan SEA.
"Persiapan untuk bertanding di Sukan SEA nanti di Bangkok sudah pun siap sepenuhnya. Kami kini sudah bersedia dan akan berjuang sehabis baik di Bangkok. Sasaran kami adalah untuk mengekalkan sekurang-kurangnya meraih gangsa," katanya.
Softball akan membuka gelanggang pada 15 Disember sehingga 19 Disember ini.