fb fb fb fb fb

Skuad ragbi 7s lelaki negara optimis buru pingat emas Sukan SEA

Skuad ragbi 7 sebelah (7s) lelaki negara tetap optimis dalam memburu misi emas meskipun hadir dengan barisan hampir keseluruhannya muka baharu pada Sukan SEA Thailand 2025/ RTM

SEPANG, 11 Disember - Skuad ragbi 7 sebelah (7s) lelaki negara tetap optimis dalam memburu misi emas meskipun hadir dengan barisan hampir keseluruhannya muka baharu pada Sukan SEA Thailand 2025.

Kapten pasukan, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi berkata keyakinan terhadap misi emas itu bersandarkan persiapan rapi enam bulan di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN), selain rekod kejayaan pasukan yang pernah meraih emas pada edisi di Kuala Lumpur.

"Sasaran kita tetap emas. Walaupun majoriti adalah 'first cap', kami sahut cabaran ini untuk Malaysia. Tekanan memang ada tetapi kami ambil secara positif dan fokus pada prestasi terbaik," katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Bagaimanapun, Azwan mengakui saingan sengit bakal tertumpu kepada pasukan Filipina, yang menurunkan pemain-pemain beraksi dalam liga separa profesional dan profesional di luar negara.

"Filipina paling kita risau sebab kita tak pernah jumpa barisan pemain mereka. Ramai berpengalaman liga luar negara. Singapura dan Thailand kita familiar, tetapi Filipina lain kerana kekuatan fizikal dan intensiti mereka," jelasnya.

Sementara itu, Muhammad Halim Abu Kassim yang turut melakukan penampilan sulung di Sukan SEA yakin pengalaman baharu itu menjadi tonik buat dirinya dan rakan sepasukan untuk tidak gentar menentang barisan lawan.

"Ini Sukan SEA pertama saya. Tekanan memang ada, tapi kami semua berkongsi beban itu. Saya harap kami dapat bawa balik emas. Setiap perlawanan wajib menang sebab format 'round robin' tak beri ruang silap," katanya.

Tambah Halim, kemenangan di podium tertinggi mampu membuka mata pihak berkaitan untuk memberi perhatian lebih serius terhadap pembangunan ragbi di tanah air.

Malaysia dijadualkan memulakan aksi menentang Singapura, diikuti Filipina dan Thailand pada hari pertama, sebelum bertemu Laos pada hari kedua.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN