fb fb fb fb fb

Skuad perseorangan jalani latihan di Denmark, persediaan hadapi Kejohanan Dunia

Pemain perseorangan negara, Jun Hao (kiri), Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen (tengah), Pemain perseorangan negara, K Letshanaa (kanan) / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Kem perseorangan badminton negara akan mengadakan sesi latihan intensif selama seminggu di Denmark sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 di Paris yang dijadual berlangsung bermula 25 Ogos hingga 1 September akan datang.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen berkata, dua pemain utama, Leong Jun Hao dan K. Letshanaa akan menjadi sandaran utama negara pada kejohanan berprestij itu.

"Kami telah dijemput dan merasakan ia adalah penyelesaian yang baik untuk mendapatkan sesi 'sparing' pada tahap yang lebih tinggi serta membiasakan diri dengan persekitaran baharu.

Jadi, kami terima jemputan tersebut kerana ia merupakan peluang untuk belajar daripada suasana latihan yang berbeza dan kami akan memanfaatkan peluang ini seminggu sebelum Kejohanan Dunia," katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Katanya lagi, pemilihan lokasi di Eropah bertujuan memberi pendedahan kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan zon masa dan keadaan cuaca sebelum beraksi di Paris.

Tambahnya, pemain muda, Justin Hoh turut tersenarai sebagai rakan sepelatih yang juga disertai pemain kebangsaan Denmark bagi membantu mempersiap barisan utama negara.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE