RAWANG, 29 Julai - Pemain negara, Foong Zi Yu membuka kempen Kejohanan Terbuka Golf Wanita Amatur Malaysia (MLAO) ke-39 dengan langkah cemerlang apabila mendahului saingan selepas pusingan pertama yang berlangsung di Kelab Golf Templer Park, di sini, hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023 itu mencatat satu bawah par 71, hasil pukulan birdie penting di lubang ke-17 untuk muncul sebagai satu-satunya pemain yang berjaya menamatkan saingan di bawah par dalam keadaan padang yang mencabar.
Tiga pemain berkongsi kedudukan kedua dengan satu pukulan di belakang, dua wakil Thailand, Kanyarak Pongpithanon dan Namo Luangnitikul serta pemain muda Singapura berusia 14 tahun, Sydnie Ng, yang masing-masing mencatat 72.
Pilihan utama kejohanan, Wang Xin Yao dari Malaysia, berada di tempat kelima selepas mencatat 73, diikuti pemain Indonesia, Elaine Widjaja, yang ketinggalan satu pukulan di tempat keenam.
Foong yang kini menuntut di Universiti Nevada, Las Vegas menyifatkan prestasinya sebagai hasil kesabaran dan pengalaman beraksi di padang itu sejak usia remaja.
“Saya berpuas hati dengan persembahan hari ini. Saya banyak mencipta peluang namun tidak semua dapat disudahkan. Saya kekal tenang dan akhirnya berjaya melakukan birdie di penghujung pusingan,” katanya.
“Saya perlu terus kawal emosi dan fokus satu pukulan demi satu. Kelebihan saya mungkin kerana sudah biasa bermain di padang ini sejak kecil, jadi saya lebih yakin di sini,” tambahnya.
Sementara itu, Sydnie yang turut bersaing rapat berkata beliau bermula baik namun beberapa kesilapan kecil menjejaskan kedudukan pada penghujung pusingan.
“Saya bermula dengan momentum yang baik, tetapi mula kurang yakin terhadap jarak pukulan semasa menghampiri green. Saya perlu lebih yakin dengan bacaan saya dan membuat keputusan yang lebih tegas untuk baki dua pusingan,” katanya.
Kejohanan anjuran Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) itu menarik penyertaan 80 pemain dari lapan negara ASEAN dan tujuh negara Asia-Pasifik, menjadikannya kejohanan wanita amatur paling berprestij di Malaysia.
Kejohanan ini turut mendapat pengiktirafan daripada R&A World Amateur Golf Ranking (WAGR) dengan penarafan C, serta diadakan bersempena Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, melalui kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS).
Penganjuran edisi kali ini juga bertujuan mengukuhkan perpaduan dan kerjasama serantau melalui sukan, sejajar dengan semangat ASEAN.
Kelab Golf Templer Park, yang menjadi tuan rumah sejak tiga tahun lalu, turut menamatkan peranannya sebagai penaja utama dan venue kejohanan selepas edisi ini.