RABAT,21 Disember- Puluhan ribu penyokong Maghribi menyambut kepulangan pasukan kebangsaan mereka selepas menjadi pasukan dari Arab atau skuad Afrika pertama yang mara ke pusingan separuh akhir Piala Dunia.
Pasukan dan jurulatih mereka, Walid Regragui melambai dari atas bas ketika mereka dibawa dari lapangan terbang ke sekitar Rabat.
Perarakan di ibu kota negara itu diiringi kereta polis dan motorsikal selain diwarnai cahaya lampu dan sorakan penyokong.
Seorang pekerja restoran, Adam Najah, 27 tahun menyatakan keterujaan sambutan itu dan amat berbangga dengan prestasi skuad Maghribi.
"Saya sangat bangga dengan pasukan kami. Siapa tahu, mungkin satu masa nanti mereka boleh menang piala itu," kata Adam kepada AFP.
Tambah Adam, dia telah melalui perjalanan sejauh 150 kilometer untuk merasai sendiri hari bersejarah itu dan meraikan cerita indah pasukan bola sepak Maghribi di Piala Dunia.
Ramai penyokong memakai baju pasukan dan mengibarkan bendera merah, menanti berjam-jam untuk melihat hero mereka.
Pasukan berkenaan juga dijemput berjumpa Raja Mohammed VI.- AFP
(FOTO AFP)