fb fb fb fb fb

Skuad lelaki negara yakin julang trofi BATC 2022

SHAH ALAM, 20 Februari - Skuad badminton lelaki negara berpeluang mencipta sejarah muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) buat kali pertama apabila bakal membuat perhitungan dengan musuh tradisi Indonesia dalam perlawanan akhir.

Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia sudah pasti tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri di Pusat Konvensyen Setia City sekali gus merealisasikan impian menjulang trofi BATC 2022.

“Sudah sampai akhir siapa tidak mahu jadi juara, sasaran seterusnya adalah menjadi juara,” katanya kepada pemberita.

Skuad lelaki negara menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke perlawanan akhir selepas menewaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi separuh akhir.

Juara Seluruh England itu yang menyumbang mata pertama negara selepas menewaskan Jeon Hyeok Jin 13-21, 21-13, 21-15 berharap dapat memperkemaskan gaya permainannya termasuk menyesuaikan permainan dengan arah angin ketika dalam gelanggang yang menjejaskan konsentrasinya selain mengurangkan kesilapan mudah dalam perlawanan petang esok (Ahad).

Sementara itu, pemain beregu lelaki, Soh Wooi Yik yang kecewa dengan prestasi buruk dalam perlawanan menentang Jepun pada Jumaat lalu, mengakui melepaskan geram dengan ‘membaling’ jersi ke arah peminat selepas menempuh perlawanan mendebarkan bersama Aaron Chia, mengalahkan Kim Hwi Tae-Kim Jaehwan 21-14, 20-22, 21-19 semalam (Sabtu).

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu tewas mengejut kepada gandingan ke-857 dunia Ayato Endo-Yuta Takei dari Jepun 21-23, 16-21 dalam aksi terakhir Kumpulan B.

“Kalah dengan pasangan ranking lebih rendah dan saya semestinya tidak selesa dengan kekalahan itu namun saya tetap puas hati menang perlawanan ini,” katanya.

Bagi Aaron pula, beliau berharap rakan sepasukan kekal fokus untuk menjuarai BATC 2022 memandangkan mereka mempunyai kelebihan dibarisi skuad utama berbanding Indonesia yang mempertaruhkan skuad kedua mereka dalam edisi kali ini.

Bagi seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang mengesahkan mata kemenangan negara selepas mengatasi Kim Joo Wan 19-21, 21-16, 21-12, beliau berharap dapat mempamerkan prestasi lebih baik dalam aksi terakhir.

FOTO BAM

“Bukan sahaja mesti menang, tapi sudah pasti kami akan bermain bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir, Indonesia mengesahkan pertemuan dengan Malaysia di pentas akhir selepas menewaskan Singapura 3-2, untuk memburu kejuaraan keempat berturut-turut.

Media Baharu