KUALA LUMPUR, 28 Januari - Skuad wanita negara mengakhiri saingan di kedudukan keenam pada kejohanan hoki 5 sebelah (5s) Piala Dunia 2024 (Wanita) di Muscat, Oman, malam tadi (Sabtu).
Skuad wanita negara mengakhiri saingan di kedudukan keenam selepas tewas 4-8 kepada Uruguay dalam aksi penentuan kedudukan kelima dan keenam.
Pada saingan berkenaan, Malaysia ketinggalan menerusi dua gol pantas lawan masing-masing pada minit pertama dan ke-3.
Namun skuad negara kembali bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Zati Alyani Muhamad Zubir dan Nur Zafirah Aziz pada minit ke-4 dan ke-6.
Keputusan itu bagaimanapun tidak bertahan lama selepas Pemain Uruguay, Teresa Viana dan Florencia Penalba masing-masing meledak lima dan satu gol.
Manakala skuad kendalian Nabil Fikri Mohd Noor cuma mampu menambah dua lagi jaringan sekaligus akur tumpas 4-8.
Sementara itu, Ketua Jurulatih, Nabil Fikri memuji anak buahnya yang berjaya memberikan tentangan sengit kepada Uruguay.
Nabil turut berpuas hati dengan peningkatan prestasi ditampilkan anak buahnya sepanjang kejohanan berlangsung.
"Prestasi yang ditampilkan oleh barisan pemain sepanjang kejohanan berlangsung menunjukkan peningkatan daripada perlawanan pertama sehinggalah perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam.
"Kejohanan ini merupakan medan tertinggi yang disertai oleh pemain negara. Sebagai jurulatih, saya berbangga dengan prestasi yang ditampilkan oleh para pemain", katanya ketika ditemui wartawan di sini.