fb fb fb fb fb

Skuad Harimau Malaya, Harimau Muda tidak boleh puas hati, perlu terus kekal momentum kecemerlangan

(Skuad Harimau Malaya berjaya menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023/Foto FB FAM)

PUTRAJAYA, 19 Julai - Usaha penambahbaikan skuad bola sepak kebangsaan perlu diteruskan bagi mengekalkan prestasi dan mencapai keputusan lebih baik pada masa akan datang.

Perkara itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu susulan kejayaan yang dilakar skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda pada tahun ini.

Bagaimana pun tegasnya, mereka tidak boleh berpuas hati dan perlu mengekalkan momentum kecemerlangan itu.

"Walau kita menang Piala Dunia sekali pun, kita perlu memastikan skuad negara sentiasa dalam keadaan baik..kekalkan momentum itu. Pasukan bawah-19 melakukannya dengan sangat cemerlang, pasukan senior juga sangat cemerlang,kita kekalkan momentum itu," kata beliau selepas melancarkan Liga Tunas Malaysia di Stadium Mini Taman Pancarona, di sini.


(Skuad B-19 kebangsaan menjuarai Kejohanan Piala AFF B-19 selepas menewaskan Laos 2-0
di final/Foto FB FAM)

Ahmad Faizal pada masa sama turut berharap agar para penyokong terus menyokong skuad kebangsaan dalam apa jua situasi.

Sementara itu, mengenai perkembangan Stadium Nasional Bukit Jalil yang ditutup untuk proses baik pulih, beliau berkata KBS setakat ini sudah menyiapkan audit forensik struktur stadium berkenaan bagi meneruskan proses itu.

"Sebelum ini kita buat audit forensik tentang struktur, selepas kita siapkan laporan audit berkenaan kemudian kita akan pastikan apa perkara yang kita perlukan untuk tambah baik untuk stadium berkenaan," jelas beliau.

Media Baharu