fb fb fb fb fb

Skuad badminton negara buru tiket automatik ke kejohanan berprestij dunia tahun ini



KUALA LUMPUR, 27 Januari- Skuad badminton negara memburu tiket automatik ke kejohanan berprestij Piala Thomas dan Piala Uber 2022, pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dari 15 hingga 20 Feb depan.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh berkata badan induk itu akan mempertaruhkan barisan pemain terbaik, yang telah melalui persediaan rapi bagi menggalas cabaran negara.

Lebih menarik, beliau berkata pihaknya tidak menutup peluang pemain bebas menyertai skuad negara dalam kejohanan itu, yang dianjurkan Majlis Sukan Negeri Selangor bersama kerajaan negeri sebagai hos, selain mendapat kerjasama Badminton Asia dan BAM.

“Kita akan lihat pemain sedia ada termasuk di dalam dan luar BAM, siapa yang terbaik. Kita akan lihat pelbagai faktor termasuk daripada segi sumbangan pemain itu dan juga dari aspek taktikal, sebab ini adalah acara berpasukan.

“Saya sentiasa berkomunikasi dengan kedua-dua pengarah kejurulatihan, jadi mereka mengatakan persediaan memang agak rapi dan walaupun kita baru sahaja tahu mengenai kejohanan, tetapi pemain telah bersedia dan akan berikan prestasi terbaik,” katanya ketika ditemui pada sidang media BATC 2022 di sini, hari ini. -BERNAMA

Media Baharu