fb fb fb fb fb

Isu penggantungan Jin Wei hampir ke penghujung

Gambar Fail


KUALA LUMPUR, 27 Januari- Isu penggantungan selama dua tahun bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei semakin hampir ke penghujungnya.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh memberi bayangan isu tersebut akan diselesaikan dengan segera, selepas menerima rayuan Jin Wei, semalam.

“Kalau boleh saya nak selesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pada sidang media Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 di sini, hari ini.

Kenny pada masa sama enggan mengulas lanjut ketika diminta menyatakan tempoh spesifik perkara itu akan diselesaikan, berikutan isu sama melibatkan BAM dan perseorangan lelaki Lee Zii Jia berjaya diselesaikan sehari selepas juara All England 2021 itu, mengemukakan rayuannya.

Jin Wei, yang mengumumkan persaraan dan keluar daripada BAM pada September tahun lepas sebelum bergerak sebagai pemain bebas, digantung daripada beraksi pada mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun, berkuat kuasa 31 Okt 2021.

Pada Isnin lepas, Zii Jia mengemukakan surat rayuan berhubung penggantungan selama dua tahun oleh BAM, berikutan tindakannya meninggalkan badan induk itu.

Media Baharu