fb fb fb fb fb

Skandal kewangan, SRU gesa KBS campur tangan

Setiausaha Agung SRU, Ramesh Lachmanan

KUALA LUMPUR, 3 Februari- Kesatuan Ragbi Sabah (SRU) mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) campur tangan berkaitan skandal kewangan yang melanda Ragbi Malaysia sejak 2022.

Gesaan dibuat itu selepas mereka meneliti laporan audit yang menunjukkan kehilangan wang lebih RM4 juta dari akaun Ragbi Malaysia.

SRU turut mengambil langkah berani untuk keluar dari kesatuan dan tidak mengiktiraf Mesyuarat Agong Luar Biasa (AGM) badan tertinggi sukan ragbi negara itu.

Setiausaha Agungnya, Ramesh Lachmanan berkata pihak mereka berpegang kepada integriti dan tidak mahu menyokong perkara ini.

Surat penjelasan juga sudah diminta sejak pertengahan tahun 2023 namun masih tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Sama ada kami berjuang sendiri atau berdiri sendiri, kami tidak kisah. Kami akan tetap dengan pendirian kami kerana jika kita lihat teras kepada sukan ragbi adalah pentadbiran yang baik dan integriti."

"Jika anda tiada dua perkara penting ini, apalah yang ada pada sukan ragbi," kata Ramesh kepada pemberita pada Jumaat.

Tambahnya, perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan belum mendapat maklum balas.

Ragbi Sabah juga sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai sebarang kejohanan dibawah Ragbi Malaysia seperti Piala Agong dan Kejohanan Tujuh Sebelah Kebangsaan sebagai tanda boikot.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM