DOHA, 3 Februari- Jordan berjaya menempah slot separuh akhir selepas menewaskan Tajikistan 1-0, pada Jumaat.
Pada aksi suku akhir itu, gol sendiri Tajikistan pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memastikan Jordan mara ke separuh akhir buat kali pertama.
Gol tunggal Jordan terhasil pada minit ke-66 selepas tandukan pertahanan Jordan, Abdallah Nasib terkena pemain Tajikistan, Vahdat Hanonov, terus menerjah ke gawang sendiri.
Baki aksi suku akhir akan berlangsung membabitkan juara bertahan, Qatar berdepan Uzbekistan manakala pasukan pilihan, Jepun menentang Iran pada esok.
Sementara itu, Korea Selatan dijadual bertemu Jordan untuk aksi separuh akhir selepas menewaskan Australia 2-1.
Australia tampak yakin untuk memenangi perlawanan apabila mendahului jaringan menerusi Craig Goodwin pada minit ke-42.
Namun, kelekaan pada minit akhir perlawanan membawa padah selepas Korea Selatan dihadiahkan sepakan penalti pada minit kecederaan yang disempurnakan penyerang Wolves, Hwang Hee Chan.
Bersambung masa tambahan, Stadium Al Janoub sekali lagi bergema dengan sorakan ribuan penyokong apabila Kapten pasukan, Son Heung-Min menjaringkan gol kedua menerusi sepakan percuma menewaskan Mathew Ryan.
Gol itu sekali gus melayakkan skuad kendalian Jurgen Klinsmann itu mara ke separuh akhir.
Korea Selatan akan bertemu Jordan pada 6 Februari depan.- AFP