KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Pemain skuasy negara, S. Sivasangari, kini hanya selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan selepas mara ke perlawanan akhir Terbuka Silicon Valley di Redwood City, Amerika Syarikat, hari ini.
Pemain ranking ke-8 dunia yang juga pilihan ketiga kejohanan itu mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan pilihan ketujuh dari Mesir, Salma Hany, 3-0 dalam masa hanya 22 minit pada saingan separuh akhir.
Sivasangari menampilkan permainan tenang dan penuh ketepatan untuk mencatat kemenangan 11-3, 11-9, 11-5, sekali gus menempah tempat ke pentas final yang dinanti-nantikan.
Menantinya di perlawanan akhir ialah pilihan utama kejohanan, Olivia Weaver dari Amerika Syarikat, lawan yang pernah menewaskannya dalam tujuh daripada lapan pertemuan terdahulu.
Terdahulu, Weaver memastikan kemaraan ke perlawanan akhir selepas menundukkan pemain England, Georgina Kennedy, 3-0 (11-5, 11-3, 11-4) dalam satu lagi aksi separuh akhir.
