SEPANG, 15 Oktober - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mencabar pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk 'menggegar' Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan meraih kemenangan pada penampilan sulungnya pada Grand Prix (GP) Malaysia 2025 secara wildcard Moto3 dari 24 hingga 26 Oktober ini.
Beliau mengakui penampilan pelumba muda berbakat negara itu di laman sendiri jauh lebih menarik buatnya berbanding barisan pelumba antarabangsa yang lain.
"Memang saya datang dengan harapan nak tengok Hakim Danish menang, yang lainnya bukan tidak ada minat tetapi saya rasa untuk jadi peminat tegar sukan ini dan mereka akan datang untuk tengok ikon-ikon mereka tetapi untuk saya, saya nak tengok Hakim Danish di MotoGP," kata beliau pada sidang media pengenalan pasukan dan penaja program wildcard GP Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kiri) pada sidang media pengenalan
pasukan dan penaja program wildcard GP Malaysia 2025
Pelumba berusia 18 tahun itu akan membawa cabaran negara bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSI dalam perlumbaan berprestij itu.
Mengulas lanjut, Hannah memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melabur RM2.1 juta tahun ini untuk menyokong perjalanan karier Hakim Danish melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWSN).
Menurutnya, peruntukan besar itu adalah bagi menampung kos persiapan termasuk penyertaannya dalam kejohanan antarabangsa seperti Red Bull MotoGP Rookies Cup dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP.
Beliau menegaskan pelaburan yang dibuat kerajaan bukanlah satu pembaziran kerana Hakim Danish merupakan bakat yang sudah terbukti kemampuannya untuk naik ke podium.
"Pelaburan ini membuktikan ia bukan satu pembaziran kerana kita sudah ada bakat yang terbukti mampu naik podium. Duit tidak dibazirkan dan kita kini mempunyai ikon baharu," katanya.
Dalam pada itu, Hannah turut menyeru rakyat Malaysia agar memberikan sokongan padu kepada Hakim Danish dengan hadir menyaksikan sendiri perlumbaan itu di Sepang.
