SEPANG, 15 Oktober - Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mengakui walaupun hanya mempunyai tempoh ujian dua hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) namun ianya mencukupi untuk menilai kemampuan jentera yang akan digunakan pada penampilan sulung dalam saingan Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia, minggu depan.
Pelumba berusia 18 tahun itu akan menyertai perlumbaan menerusi tiket wildcard bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSI.
Namun beliau menyatakan masih ada beberapa ruang untuk ditambah baik tetapi secara keseluruhanya berpuas hati dengan persiapan yang telah dilakukan.
"Saya sudah bersedia untuk GP Malaysia ini dan saya sudah mencuba jentera ini pada minggu lepas selama dua hari, masih ada ruang lagi yang saya perlu tambah baik di bahagian yang saya perlu lakukan.
"Tetapi saya akan buat yang terbaik pada minggu hadapan dan berkenaan latihan, saya tetap melakukan latihan seperti biasa dan saya bersedia untuk minggu hadapan," kata beliau selepas majlis pengenalan pasukan dan penaja program wildcard GP Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini hari ini.
Namun pelumba kelahiran Terengganu itu enggan meletakkan sebarang sasaran spesifik pada perlumbaan pertamanya di pentas dunia berkenaan.
Selain itu, beliau memaklumkan latihan bebas pada Jumaat depan adalah untuk mengukur tahap sebenar dan kedudukannya berbanding pelumba lain.
