RABAT, 15 Oktober – Pasukan kebangsaan Maghribi mencipta sejarah baharu dunia apabila mencatat 16 kemenangan berturut-turut dalam perlawanan antarabangsa selepas menewaskan Congo 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Rabat pada Selasa.
Penyerang Fenerbahce, Youssef En-Nesyri menjaringkan gol tunggal perlawanan buat Atlas Lions, yang sebelum ini sudah pun mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 selepas membelasah Niger 5-0 awal bulan ini.
“Rekod baharu! Pasukan kebangsaan kita mencipta SEJARAH dengan 16 KEMENANGAN BERTURUT-TURUT,” tulis pasukan Maghribi di akaun rasmi X mereka, sambil menambah, “Singa yang tidak dapat dihentikan.”
Pasukan yang mengejutkan dunia apabila mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 itu menjadi negara Afrika pertama menempah tiket ke kejohanan tahun depan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Rekod cemerlang Maghribi itu bermula pada 7 Jun 2024, mengatasi pencapaian Sepanyol yang sebelum ini memegang rekod 15 kemenangan berturut-turut antara Euro 2008 dan Jun 2009.
Sebelum itu, Perancis memegang rekod dunia antara Mac 2003 hingga Februari 2004 ketika bergelar juara Eropah. -AFP
