fb fb fb fb fb

Sivasangari dijangka kembali beraksi pada Januari

(Pemain skuasy kebangsaan Eain Ng Yow (kiri) bersama Sivasangari Subramaniam bergambar bersama piala
dalam kategori lelaki premium dan wanita premium selepas memenangi perlawanan akhir
Kejohanan Skuasy Kebangsaan di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, 12 Jun 2022/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dijangka kembali ke gelanggang skuasy Januari depan berdasarkan tahap kesihatannya yang semakin pulih.

Pengarah Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S.Maniam berkata atlet kelahiran Kedah berusia 23 tahun itu sedang menerima rawatan berkala daripada Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan dia berada pada tahap terbaik untuk kembali bersaing.

“Setakat ini kecederaan yang dialami pada tulang pipi, kening dan kepalanya sudah sembuh kecuali leher bahagian belakang yang dinamakan sebagai C1-serviks yang masih memerlukan pemulihan daripada ISN.

"Saya selalu bertemunya ketika melawatnya di gim atau dia akan singgah di pejabat saya… dia bersemangat tinggi dan berharap untuk segera pulih,” katanya yang dihubungi Bernama.

Pemain nombor 16 dunia itu dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Maju pada 3.46 pagi, 26 Jun lepas.

Sivasangari merupakan penumpang kereta Proton Saga BLM yang terbakar 90 peratus selepas bertembung sebuah lori muatan satu tan lalu terbabas dan terbakar.

Sementara itu, Maniam berkata kejayaan skuad lelaki negara membawa pulang pingat gangsa pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia di Nancy, Paris selepas kemarau 16 tahun merupakan detik kebanggaan buat persatuan dan negara.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat iaitu gangsa pada kejohanan dunia ialah pada edisi 2006 di New Zealand.


(Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari/BERNAMA)

“Ini merupakan pencapaian cemerlang untuk kami, semua pemain yang kami pilih beraksi dengan baik dan saya gembira melihat hasilnya. Kemenangan ini membuktikan kami tidak akan ketandusan pemain senior namun mereka memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tahun untuk memperbaiki dan menguasai tahap tertentu,” katanya.

Maniam berkata pemenang pingat, Joachim Chuah, C. Ameeshenraj dan Andrik Lim akan fokus mewakili negeri masing-masing pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 sebelum Ameeshenraj dan Andrik akan mewakili pasukan senior pada Oktober ini.

Malaysia berkongsi gangsa dengan Pakistan selepas tewas 2-1 kepada England pada separuh akhir manakala England menumbangkan pilihan utama dan juara bertahan Mesir 2-1 untuk menamatkan kemarau kejuaraan 22 tahun. -BERNAMA 

 

Media Baharu