KUALA LUMPUR, 28 Januari - Desas desus semakin hangat diperkatakan siapakah jurulatih tempatan yang akan dipilih menjadi pembantu jurulatih Pan Gon membimbing skuad negara.
Menurut bekas pemain kebangsaan, Rezal Zambery Yahya sesiapa yang dilantik sebagai penolong jurulatih skuad negara seharusnya memiliki hala tuju yang sama seperti Pan Gon dalam mengubah keseluruhan pasukan.
"Saya rasa 'assistant' kita layak diberi peluang menjadi asistant untuk ketua jurulatih yang mana rapat dengan Pan Gon. Bagi pandangan saya, mungkin dia ada 'asistant' dari negara dia untuk dia senang bekerja tapi input daripada jurulatih tempatan sangat membantu daripada segi pengurusan, pendekatan dengan pemain, dari segi bahasa maka penolong jurulatih tempatan akan memainkan peranan penting untuk skuad negara kita," ujar Rezal Zambery Yahya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup kursus kejurulatihan tahap I di Bukit Kiara.
Sebelum ini, Pan Gon menyatakan hasratnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan seorang jurulatih tempatan.
Proses tersebut akan dikendalikan pengarah teknikal badan induk itu, Scott O'Donell.
Pan Gon dijangka tiba awal bulan depan bersama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.