fb fb fb fb fb

Nadal dan Medvedev tentukan juara Terbuka Australia

MELBOURNE, 28 Januari - Rafael Nadal hanya tinggal selangkah lagi untuk mencipta rekod memenangi gelaran Grand Slam ke-21.

Bintang Sepanyol berusia 35 tahun itu menewaskan Matteo Berrettini dalam aksi separuh akhir Terbuka Australia.

Nadal bermula baik di Rod Laver Arena apabila menguasai permainan ketika bertemu naib juara Wimbledon 2021 itu untuk memenangi dua set pertama.

Berrettini kemudiannya bangkit pada set ketiga dan memaksa Nadal bekerja keras sebelum membawa perlawanan ke set keempat.

Kebangkitan pemain Itali itu bagaimanapun gagal mengheret perlawanan ke set kelima.

Nadal menang 6-3, 6-2, 3-6, 6-3. Pertarungan berlangsung selama 2 jam 55 minit.

Dalam perlawanan akhir Ahad ini, dia akan berhadapan Daniil Medvedev.

Bintang Rusia itu mara ke pentas akhir Terbuka Australia buat kali kedua berturut-turut setelah menundukkan Stefanos Tsitsipas dari Greece 7-6, 4-6, 6-4, 6-1.

Nadal ketika ini berkongsi rekod 20 kejuaraan Grand Slam bersama Novak Djokovic dan Roger Federer.

Media Baharu