KUALA LUMPUR, 22 Disember-Jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom kini memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan kecederaan kaki kirinya sebelum beraksi di Piala Trek Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2023, yang juga kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Shah Firdaus, dia telah berbincang dengan ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley untuk mengubah corak latihannya kepada lebih ringan bagi memastikan kecederaan tersebut tidak bertambah teruk.
(Jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom kini beri tumpuan
kepada proses pemulihan / FOTO RTM)
Pelumba berusia 25 tahun dari Muar, Johor itu mengakui langkah berkenaan dibuat selepas mengambil kira nasihat doktor perubatan mengenai kemungkinan berlaku kecederaan lebih parah sekiranya dia melakukan latihan berat.
Tambahnya, tumpuan kepada proses pemulihan adalah penting kerana perlumbaan Piala Trek Negara-Negara UCI 2023 di Indonesia dan Mesir pada Febuari dan Mac, adalah perlumbaan penting untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebelum ini, Shah Firdaus mengalami kecederaan otot susulan impak daripada kecederaan lama ketika terjatuh pada perlumbaan keirin Sukan Olimpik 2020 Tokyo, tahun lepas.