fb fb fb fb fb

Setahun bersama, Patrick Kluivert ucap selamat tinggal pada Tim Garuda

Patrick Kluivert / REUTERS

JAKARTA, 16 Oktober - Persekutuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) hari ini mengumumkan perpisahan secara persetujuan bersama dengan ketua jurulatih skuad kebangsaan lelaki, Patrick Kluivert, selepas hampir setahun menerajui pasukan itu.

Menurut kenyataan PSSI, keputusan tersebut dicapai secara bersama antara kedua-dua pihak pada Khamis, menamatkan khidmat jurulatih kelahiran Belanda itu yang dilantik pada Januari lalu dengan kontrak asal sehingga 2027.

Pemergian Kluivert menyusul selepas kekalahan besar Indonesia kepada Iraq di Jeddah pada Sabtu lalu, sekali gus menamatkan harapan pasukan itu untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat.

Indonesia sebelum ini berhasrat untuk melakar sejarah layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak mencapai kemerdekaan daripada Belanda pada 1945. Kemaraan mereka ke pusingan keempat kelayakan Asia merupakan pencapaian terbaik negara itu setakat ini.

Bekas pemain AC Milan, Ajax dan Barcelona itu mengetuai skuad yang dibina dengan ramai pemain berdarah kacukan dari diaspora Belanda-Indonesia, dalam usaha memperkukuh prestasi skuad Garuda di pentas antarabangsa.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE