MILAN, 22 Ogos - Christian Pulisic membuktikan kehadirannya di AC Milan berbaloi apabila membantu kelab berkenaan menang 2-0 mengatasi Bologna pada perlawanan yang berlangsung semalam.
Penyerang tersebut bermula langkah kanan di Itali selepas menjalani musim yang buruk bersama Chelsea musim lalu dengan umpanan kepada Oliver Giroud bagi gol pertama dan rembatan menarik bagi jaringan kedua AC Milan.
Pada perlawanan semalam, Bologna terlebih dahulu menghadirkan ancaman terhadap AC Milan menerusi rembatan deras Charalampos Lykogiannis yang terkena palang.
Tersentak dengan itu, AC milan mula mengatur serangan demi serangan ke kubu Bologna. Hasilnya, pasukan berkenaan berjaya mendahului menerusi rembatan Olivier Giroud pada minit ke-11 hasil umpanan daripada Pulisic.
Gandingan Giroud dan Pulisic dilihat menjadi ancaman kepada pertahanan Bologna dengan gerakan-gerakan berbahaya kepada pintu gol pasukan berkenaan.
Gol kedua AC Milan hadir pada minit ke-21 hasil rembatan menarik Pulisic hasil gerakan satu dua yang dimulakan oleh Giroud.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat permainan.
Sementara itu, Pengurus AC Milan, Stefano Pioli memuji impak yang ditunjukkan Pulisic pada perlawanan tersebut.
"Saya tahu Pulisic seorang pemain yang berbakat. Ia adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal.
"Ini merupakan bukti kualiti dirinya menambah kekuatan pasukan ini", kata Pioli kepada DAZN.-REUTERS
(Penyerang AC Milan, Christian Pulisic meraikan gol keduaketika menentang Bologna
semalam/ FOTO sempremilan.com)