KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Barisan jaguh dunia dalam arena sukan negara bakal dihimpunkan dalam perebutan gelaran Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022.
Antara senarai calon yang teratas Olahragawan Kebangsaan, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pemenang pingat emas Kejohanan Badminton Dunia 2022.
Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap berkata, pihaknya menampilkan kelainan dengan memperkenalkan dua kategori baharu pada tahun ini iaitu iaitu Pengulas Sukan Popular dan Tokoh Kepimpinan Sukan.
"Kali ini kita adakan satu kategori khas iaitu pengulas sukan popular, yang mana ianya bukanlah dinilai daripada hasil kerja, tetapi populariti yang akan di undi oleh peminat- peminat sukan," katanya.
Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pula diwujudkan bagi menghargai peranan pemegang taruh persatuan sukan yang terlibat secara langsung dalam sukan negara.
Dalam pada itu, saingan bagi gelaran Atlet Para Terbaik 2022 membariskan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, juara dunia badminton Cheah Liek Hou, Nani Shahiera Zawawi (olahraga) serta dua atlet renang Brenda Anellia Larry dan Carmen Lim.
Kedua-dua pemenang Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2022 masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Sementara, pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori Kewartawanan Sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM7,000 berserta trofi.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dijangka merasmikan Anugerah SAM-100PLUS 2022 yang dijadual berlangsung pada 29 Ogos ini.
(Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap)