Semangat Tahun Baharu Cina, Liek Hou idam hatrik emas
KUALA LUMPUR, 22 Januari - Atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou mengidamkan kejayaan hatrik emas temasya paralimpik sebelum bersara daripada arena antarabangsa.
Jelas pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 kategori SU5 (kecacatan tangan) itu, sasaran beliau seterusnya adalah temasya Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Beliau yang bakal menjangkau usia 40 tahun ketika temasya Los Angeles 2028 berharap,tahun arnab sempena Tahun Baharu Cina kali ini akan membawa tuah termasuk bebas daripada sebarang kecederaan.
"Daya badan kita semakin berusia keadaan semakin menurun, jadi saya harus menjaga stamina badan saya. Kalau tahun ini dalam keadaan baik tahun hadapan sekiranya mencapai matlamat saya, mungkin saya akan cuba menyertai sukan paralimpik empat tahun lagi," katanya ketikda ditemui RTM pada pagi sambutan perayaan Tahun Baru Cina di rumah kediaman keluarga di sini.
Liek Hou kini baru pulih dari kecederaan tumit yang dialaminya pada hujung tahun lalu.
(Atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou)
Sementara itu, Jap Joe Tjin ibu kepada Liek Hou menyokong penuh hasrat yang dizahirkan anak lelakinya itu.
"Saya bangga dengan pencapaian Liek Hou kerana dia sudah berbakti kepada negara dan masyarakat. Itulah kemampuan Liek Hou, dan sebagai orang tua saya boleh mendorong dan menasihatinya sahaja," katanya.
Liek Hou bakal bersaing dalam kejohanan Para Badminton Antarabangsa di Sepanyol pada Februari depan yang merupakan kejohanan kelayakan ke Paralimpik Paris 2024.
Sementara itu, perayaan Tahun Baharu Cina kali ini tetap disambut meriah oleh Liek Hou sekeluarga meski pun diraikan secara sederhana.
Pagi sambutan tahun arnab kali ini terlebih dahulu disambut di rumah keluarganya di Klang Lama bersama ibu, isteri dan adik beliau.
Mereka bakal berkunjung ke kediaman keluarga sebelah ibunya di Tapah, Perak.