PRAIA, 14 Oktober - Seluruh rakyat Cape Verde dilanda gelombang kegembiraan luar biasa apabila pasukan kebangsaan mereka mencipta sejarah tersendiri dengan melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama, hasil kemenangan bergaya 3-0 ke atas Eswatini dalam aksi terakhir Kumpulan D kelayakan Afrika, semalam.
Sorakan kegembiraan bergema di setiap pelosok kepulauan Atlantik itu sebaik wisel penamat dibunyikan di Stadium Nasional, Praia.
Rakyat berpusu-pusu membanjiri jalanan sambil mengibarkan bendera kebangsaan dan menyanyikan lagu patriotik sebagai tanda bangga dengan pencapaian skuad yang sebelum ini dianggap “underdog”.
Malah, kerajaan Cape Verde turut memberi cuti separuh hari kepada rakyatnya bagi membolehkan mereka menonton detik bersejarah itu, yang kemudiannya mencetuskan sambutan besar-besaran di seluruh negara berpenduduk sekitar 600,000 orang itu.
Kejayaan luar biasa itu disifatkan sebagai simbol kebangkitan bola sepak negara pulau kecil itu, yang 25 tahun lalu hampir tidak dikenali di pentas antarabangsa.
Kini, skuad kendalian jurulatih Bubista bukan sahaja menamatkan saingan sebagai juara kumpulan dengan 23 mata, empat mata di depan Cameroon, malah membuktikan kerja keras dan keyakinan mampu mengatasi segala kekangan sumber dan saiz negara.
Menerusi kemenangan itu, Cape Verde bukan sahaja mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026, malah muncul negara kedua terkecil dalam sejarah yang berjaya menempah slot ke kejohanan berprestij itu selepas Iceland pada 2018.-REUTERS