fb fb fb fb fb

Eljoe Gotuoh raih emas di Kejohanan Dunia Virtus 2025

Eljoe meraikan kejayaannya di atas podium bersama pemenang pingat perak dan gangsa

BRISBANE, 14 Oktober - Atlet paraolahraga negara, Eljoe Gotuoh, menghadiahkan kilauan emas buat Malaysia selepas mengungguli acara lompat jauh lelaki pada Kejohanan Dunia Virtus 2025 yang berlangsung di Brisbane, Australia.

Eljoe mempamerkan aksi cemerlang apabila melakukan lompatan sejauh 7.01 meter, sekali gus menewaskan pencabar terdekat dari Hong Kong, Chi Wai Chow yang meraih perak dengan catatan 6.48 meter, manakala Lenine Tang dari Portugal membawa pulang gangsa selepas mencatat 6.21 meter.

Kejayaan tersebut mengangkat nama Eljoe sebagai antara atlet para paling menonjol dalam kategori kecacatan intelektual, selain membuktikan kemampuan Malaysia untuk terus bersaing di pentas dunia.

Kejohanan Dunia Virtus 2025 merupakan kejohanan antarabangsa khusus bagi atlet para dengan kecacatan intelektual (intellectual impairment), yang mempertemukan atlet terbaik dunia dalam pelbagai disiplin olahraga.

Kemenangan Eljoe itu juga menambah koleksi pingat kontinjen negara di kejohanan tersebut dan menjadi suntikan semangat buat atlet lain untuk meneruskan kecemerlangan di peringkat global.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE