VALLADOLID, 14 Oktober - Sepanyol berdepan ujian getir menjelang aksi kelayakan Piala Dunia menentang Bulgaria apabila barisan utama mereka terus dihimpit krisis kecederaan, namun semangat juang La Roja kekal menyala untuk mempertahankan rekod sempurna kempen kali ini.
Skuad kendalian Luis de la Fuente itu bakal turun beraksi di Stadium Jose Zorrilla, Valladolid tanpa beberapa tonggak utama termasuk pemenang Ballon d’Or 2024, Rodri, serta dua bintang muda sensasi, Lamine Yamal dan Nico Williams, yang masih belum pulih daripada kecederaan.
Lebih perit, penyerang Barcelona, Ferran Torres, turut terpaksa menarik diri selepas mengalami ketegangan otot paha kiri ketika membantu Sepanyol menewaskan Georgia 2-0, Sabtu lalu.
Walaupun berdepan kekangan, Sepanyol kekal di tangga teratas Kumpulan E dengan sembilan mata, tiga mata di depan Turkiye, manakala Georgia di tempat ketiga dengan tiga mata. Bulgaria pula terus menghuni tangga tercorot selepas tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut.
Ketua jurulatih, Luis de la Fuente, menegaskan kecederaan adalah lumrah dalam bola sepak dan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menjejaskan semangat pemain kebangsaan.
“Apa yang jelas, pemain bola sepak memang boleh cedera dalam mana-mana perlawanan liga, dan perkara sama boleh berlaku apabila mereka bermain untuk pasukan kebangsaan. Ia hanya satu lagi perlawanan. Tapi saya tak faham kenapa setiap kali pemain cedera bersama pasukan negara, ia jadi isu besar. Sepatutnya kita semua berbangga bila mereka mewakili Sepanyol,” katanya.
Sepanyol dijangka tetap turun dengan barisan kompetitif menentang Bulgaria awal pagi nanti, dengan pemain tengah Dani Olmo dan penyerang Alvaro Morata dijangka mengetuai misi memburu tiga mata penuh bagi mengekalkan momentum ke arah tiket automatik ke Amerika Utara 2026.-REUTERS