fb fb fb fb fb

Benin intai sejarah, Nigeria dalam tekanan saat akhir kelayakan Piala Dunia

Jurulatih Benin, Gernot Rohr / REUTERS

UYO, 14 Oktober - Harapan Benin untuk mencipta sejarah layak ke Piala Dunia buat kali pertama semakin hampir direalisasikan apabila mereka bersedia menentang Nigeria dalam aksi penentuan Kumpulan C yang dijangka sengit tengah malam ini.

Benin, yang sebelum ini mengejutkan Nigeria dengan kemenangan dalam perlawanan pertama, kini hanya selangkah lagi untuk menempah tiket ke pentas terbesar dunia itu. Dengan 17 mata, mereka mendahului kumpulan dua mata di depan Afrika Selatan, manakala Nigeria di tempat ketiga dengan 14 mata.

Jurulatih Benin, Gernot Rohr, dan kapten pasukan, Steve Mounie, menyatakan keyakinan tinggi terhadap peluang pasukan mereka, sambil menegaskan bahawa momentum dan sokongan penyokong tempatan akan menjadi kelebihan utama.

Sementara itu, kem Nigeria tampak lebih berhati-hati. Jurulatih Eric Chelle mengakui berdebar menjelang aksi penting itu, namun tetap optimis pemainnya mampu bangkit.

“Saya teruja, tapi dalam masa sama sedikit gementar. Dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku. Kami tahu kemenangan mungkin masih belum cukup, tapi kami akan berjuang hingga wisel penamat,” katanya.

Nigeria bukan sahaja perlu menang, tetapi juga bergantung pada keputusan perlawanan antara Afrika Selatan dan Rwanda. Sekiranya Afrika Selatan mencatat keputusan positif di laman sendiri, impian Super Eagles untuk ke Piala Dunia mungkin berkubur.

Dalam perkembangan lain, peluang Afrika Selatan untuk mara sedikit terjejas selepas dipotong tiga mata oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana menurunkan pemain tidak layak beraksi, Teboho Mokoena, ketika menewaskan Lesotho 2-0 pada Mac lalu. Kemenangan itu kemudiannya dibatalkan, dan Lesotho dianugerahkan kemenangan 3-0.

Kini semua mata tertumpu ke Cotonou, di mana sejarah mungkin tercipta, sama ada Benin melakar kejayaan bersejarah, atau Nigeria menulis kebangkitan di saat akhir.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE