OEIRAS, 14 Oktober - Portugal berpeluang mengesahkan tiket awal ke Piala Dunia 2026 apabila melayan kunjungan Hungary dalam aksi kelayakan Kumpulan F di Stadium Jose Alvalade, awal pagi nanti.
Skuad kendalian Roberto Martinez itu kini gah di puncak kumpulan dengan rekod sempurna, sembilan mata hasil tiga kemenangan selepas menewaskan Ireland 1-0 di Dublin menerusi jaringan saat akhir Ruben Neves, Sabtu lalu.
Hungary pula di tempat kedua dengan empat mata, diikuti Armenia dan Ireland, menjadikan kelebihan lima mata milik Portugal sudah cukup untuk menutup kempen lebih awal jika mencatat kemenangan di laman sendiri.
Pasukan tuan rumah juga pernah menewaskan Hungary 3-2 dalam pertemuan pertama, namun Martinez enggan pasukannya terlalu selesa, sebaliknya mahu mereka kekal fokus dan menikmati corak permainan menyerang yang menjadi identiti baharu Portugal.
“Kita kena nikmati detik ini. Pasukan kebangsaan kita bukan saja main bola, tapi main dengan cara yang indah. Pemain-pemain menunjukkan komitmen luar biasa, dan kita patut raikan itu,” kata Martinez.
“Kalau menang 5-0, orang kata lawan lemah. Kalau tak menang besar, orang kata kita tak cukup bagus. Naratif tu tak betul,” tegasnya.
Kemenangan keempat berturut-turut bukan sahaja akan memastikan tempat Portugal ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada tahun depan, malah menegaskan status mereka sebagai antara kuasa utama bola sepak Eropah ketika era pasca Cristiano Ronaldo terus berkembang dengan positif.-REUTERS